Wednesday, August 30, 2017

PAS bersedia untuk berapa penjuru sekalipun

ROSLI ABDUL JABAR

PAS telah menelusuri jalan perjuangannya yang penuh liku di medan politik Malaysia. PAS melangkah satu demi satu anak tangga dengan membawa aspirasi Islam sebagai matlamat perjuangannya.

Dakwah menjadi metod perjuangannya, suntikan semangat perjuangan dan menanamkan kesedaran bahawa umat Islam wajib memperjuangkan, mempertahankan dan melaksanakan hukum Allah yang hanya boleh dilaksanakan melalui kuasa politik menjadi agenda utama isi tiupan tarbiyyah PAS kepada rakyat.

PAS tak pernah jemu dan mengalah meskipun sangat sadis fitnah yang melanda PAS, tubuh pimpinan dan ahli PAS bukan sahaja basah disirami fitnah malahan bersimbah darah, terutama di zaman Tun Mahadir, pembenci tegar perjuangan PAS, namun darah perjuangan pimpinan dan ahli PAS tidak pernah berhenti mengalir hingga kini.

Perjuangan tanpa harta, diikat dengan kejahatan diskriminasi BN terhadap PAS, bukan setakat pemimpin abang besar BN malahan sampailah kepada peringkat jkkk pun menumpang selepuk dua menyakiti hati ahli PAS di cawangan-cawangan, hinggakan nak cop borang anak sekolah pun jadi susah.

Tapi PAS dah mendidik ahlinya bahawa setiap dari kesusahan dari perjuangan akan dikurniakan oleh Allah swt dengan balasan kebaikan, selagi perjuangan PAS berdasarkan Islam dan setiap kerja buat kita didalam PAS semata kerana Allah swt, demi untuk meninggikan syiarNya, maka pasti ianya tidak disia-siakan oleh Allah swt.

"Tin milo", bahasa ejekan pembenci PAS, inilah yang menjadi sumber untuk menggerakkan perjuangan, di dalam "Tin Milo" itu terhimpun segala doa, harapan dan keikhlasan ahlinya untuk melihat PAS terus berjuang, melangkah terus membawa cita-cita Islam hingga sampai ke destinasinya.

Didalam "tin milo" itu terhimpun keberkatan, PAS mengutip kebaikan demi kebaikan darinya, kalau dulu PAS sentiasa hilang deposit, kini hampir menghilangkan deposit orang, dari tiada negeri kini ada pimpinan PAS yang menjadi MB dan EXCO dan yang kebaikan yang paling hebat ialah PAS tetap Istiqamah dengan perjuangan, tidak sedikitpun lemas walaupun ditimbus dengan curahan fitnah.

Hari ini mereka ugut PAS, kalau bertanding 3 penjuru, PAS akan kalah. Harapannya biar PAS melutut dan menjilat muntahan fitnah mereka terhadap PAS. PAS bukan bermain politik dan bersenda dalam perjuangan, kalau nak bersama PAS mesti terima dasar PAS, kalau tak terima apatah lagi hina perjuangan PAS jangan harap PAS akan bersama.

PAS tak akan mengalah meskipun diugut dengan kekalahan, bagi PAS kewajipan kita adalah berusaha untuk menang namun yang menentunya adalah Allah swt semata, PAS tiada beza lagi dengan parti lain jika gadaikan prinsipnya, jika PAS menggadaikan prinsip perjuangannya, itulah sebenarnya kekalahan kerana apa yang mereka nak ialah PAS ikut mereka.

Kerana itulah PAS tidak akan mengalah untuk pertahannya prinsip perjuangannya, kerana selagi prinsip perjuangannya tidak hilang maka itulah sebenarnya kemenangan. Tiadalah kesempurnaan, kenikmatan, keindahan, keberkatan, kekuatan melainkan dengan Islam, tidak mungkin kami akan buang anugerah Allah yang Maha Hebat ini dari perjuangan kami.


YB Ustaz Rosli Jabar
(Pesuruhjaya Pas Pahang / Adun Tg.Lumpur)



No comments:

Post a Comment