Wednesday, February 1, 2017

Antara banjir dan kehidupan berumah tangga


ROSLI ABDUL JABAR


Semasa memilih pakaian untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir, tiba-tiba teringat pula firman Allah berkaitan pakaian: "Mereka (isteri-isterimu) adalah pakaian bagimu, dan kamu pakaian bagi mereka" ( Al Baqarah 187).

Fungsi utama pakaian ialah menutup aurat agar tidak berlaku dosa, maka suami isteri mestilah bersikap tegur-menegur antara satu sama lain agar ianya menjadi penutup ruang dari melakukan dosa.

Pakaian juga bertujuan menutup aib kemaluan, suami dan Isteri mestilah memelihara aib di antara satu sama lain, haram menceritakan keaiban suami atau isteri masing-masing.

Di samping itu pakaian juga bertujuan memelihara jasad agar tidak terdedah kepada kecederaan, kesejukan dan sebagainya, masing-masing terutama suami mestilah sentiasa melindungi isterinya dan begitulah juga sebaliknya.

Selain itu pakaian juga bertujuan untuk mencantikkan, akhlak suami dan Isteri adalah gambaran sikap salah satu daripadanya, akhlak isteri yang menarik akan menampakkan kecantikan akhlak suaminya, begitu juga sebaliknya.

Maka corak dan cara berpakaian adalah gambaran jiwa. Ketenangan dalam kehidupan berumah tangga sangat bergantung kepada corak kehidupan di mana masing-masing bertanggungjawab untuk memilih corak yang menyenang dan mendamaikan.

Justeru jadilah pakaian terbaik buat pasanganmu, sekian sedikit perkongsian dicelah-celah kesibukan membantu mangsa banjir.

Penulis adalah Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Tanjung Lumpur


No comments:

Post a Comment