Tuesday, October 18, 2016

PAS Pahang kekal tanding 21 dun 7 parlimen

TEMERLOH: PAS kekal bertanding 21 kerusi Dun dan tujuh parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Yohanis Ahmad.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Negeri Pahang kali ke-2 semalam di Darul Ansar, Lanchang semalam, beliau berkata jika Pakatan Harapan (PH) gagal menasihati komponennya seperti Pan masuk bertanding di tempat yang sama, PAS akan bertindak.

Katanya, tindakan tersebut ialah PAS akan menilai semula kerusi-kerusi majoriti Melayu seperti Raub, Mentakab atau mana-mana kerusi yang pernah ditandingi parti itu, PAS akan masuk bertanding di situ.

“PAS ada prinsip, mana-mana parti yang nak bekerjasama mesti kena hormati dasar PAS, jangan hina PAS atau Islam macam Dap.

“Bukan sahaja hina Islam, jika Dap hina Hindu, Budha dan Kristian pun PAS marah,” katanya.

Beliau berkata demikian dipercayai mengulas pelbagai isu berkaitan pilihan raya yang dibangkitkan oleh Pan dan Dap di akhbar dan portal berita akhir-akhir ini. Terbaru ialah kenyataan kesat pemimpin Dap di Raub.

Mengenai Dap, Yohanis berkata, PAS bukan sekali pernah bekerjasama.

Menurutnya, pada PRU 1999 dalam BA tapi parti itu keluar pada 2001 atas isu Dokumen Negara Islam. Kemudian selepas PRU 2008 bersatu lagi dalam Pakatan Rakyat lepas itu Dap sendiri tendang PAS keluar daripada gabungan.

“Apabila tiba masa untuk PAS membawa private bill pindaan RUU 355, pelbagai penghinaan dan tohmahan dihamburkan kepada PAS.

“PAS melihat masalah sosial adalah keutamaan, cuma buat masa ini PAS melihat keperluan kepada masyarakat Islam melalui pindaan RUU,” tambahnya.

Mengenai DHPP, Yohanis berkata PAS Pahang memang sedang memperkasakan DHPP termasuk memberi sokongan kewangan.

Turut hadir dalam program berkenaan Pengerusi DHPP Pusat N Balasubramaniam, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Wan Mahadir Wan Mahmud, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri Hasnan Haron dan pemerhati dari DHPP Pusat Suria.

Sementara itu, Balasubramaniam yang juga Pengerusi DHPP Negeri Pahang menyampaikan khabar gembira pada masa akan datang ahli-ahli DHPP akan boleh mengundi dalam pemilihan parti seperti ahli-ahli PAS yang lain.



No comments:

Post a Comment