Thursday, October 27, 2016

Isu Bauksit: Bila Nak Selesai?

KUANTAN: Kini musim tengkujuh sudah hampir tiba, tidak adakah langkah-langkah penyelesaian diambil oleh pihak kerajaan BN?, soal Timbalan Pesuruhjaya PAS (TPJ) Pahang Andansura Rabu.

Beliau yang juga Adun Beserah berkata, selepas hampir setahun moratorium berjalan dan janji demi janji dibuat oleh pihak berkuasa, namun semua isu masih tidak diselesaikan.

“Tinjauan saya semalam di Kampung Kubang Karah dan Kampung Jeram Beserah mendapati timbunan bauksit dibiarkan begitu sahaja.

“Lebih malang lagi, jalan kampung yang di bawah seliaan PLB (pembangunan luar bandar) juga tidak dibaiki. Menurut wakil penduduk, pihak kontraktor ada membayar wang deposit untuk tujuan membaiki sebarang kerosakan.

“Persoalannya sekarang mengapa kerosakan jalan masih tidak dibaiki? Kemana wang tersebut telah dibelanjakan?,” soalnya lagi.

Andansura yang juga Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang berkata, selain daripada itu, terdapat juga satu kawasan seperti "washing bay" telah dipasang di tengah-tengah jalan orang ramai.

“Siapa yang meluluskan pemasangan ini? Kenapa gunakan jalan awam untuk tempat cucian?”

Andansura serentak dengan itu mendesak pihak berkuasa yang terlibat untuk turun padang dan menyaksikan sendiri kerosakan yang ada.

“Tolonglah selesaikan segera masalah rakyat ini. Jika tidak, tunggulah musim hujan lebat dan musim tengkujuh yang akan bermula nanti... kita akan ada water park kat situ...,” ujarnya.




No comments:

Post a Comment