Wednesday, October 12, 2016

Hutan simpan talian hayat kerajaan Pahang


Mukadimah: Anggota Harian PAS Pahang sejak dua bulan lepas telah turun sendiri melihat kesan kerakusan penebangan balak dalam hutan simpan di negeri ini. Antara yang dilawati ialah Hutan Simpan Lesung di Rompin, Hutan Simpan Kemasul di Bentong serta di Lipis dan Jerantut.

Berkaitan fenomena ini, Admin telah menemubual bekas pegawai kerajaan negeri Syed Ali Badaruddin Syed Othman. Beliau merupakan bekas pengarah syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur Bhd yang menang dalam saman terhadap kerajaan Negeri Pahang> Kini beliau merupakan penganalisis politik dan ekonomi khususnya bagi negeri Pahang



Apakah balak dalam kawasan yang sudah diwartakan sebagai hutan simpan boleh ditebang dan diambil secara sah?

Boleh tetapi ada syaratnya. Pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk meluluskan pengeluaran balak dalam hutan simpan melalui mesyuarat Exco. Tetapi hendaklah dengan mematuhi Akta Hutan dan Pekeliling Hutan Negeri.


Bagaimana proses dan syarat-syaratnya?

Hutan simpan ini boleh ditebang dan dikeluarkan melalui dua proses, pertama tender iaitu sumber pendapatan untuk kerajaan negeri. Dalam amalan biasa, ini disebut “tagging and marking”. Apabila lulus syarat pengeluarannya pula tidak melebihi 15 tan bagi tiap seekar sekali. Pihak berkuasa negeri iaitu ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan boleh memilih mana-mana syarikat dan tidak tertakluk kepada harga tertinggi.
Pross kedua pula ialah melalui projek kerajaan seperti projek lebuh raya, empangan, kabel hidro elektrik, pelombongan (mineral). Syarat yang ini pula ia mesti diwartakan dan rizabnya dikeluarkan daripada hutan simpan dan dalam masa yang sama mesti diganti dengan tanah lain lalu diwartakan sebagai hutan simpan yang baru. Balak-balak boleh ditebang habis tetapi tapaknya mesti ditanam semula dengan benih pokok spesis hutan.


Dalam kes di Pahang (merujuk isu pembalakan di Hutan Simpan Lesung, Rompin Dan Kemasul Yang didedahkan Harakah baru-baru ini) adakah aktiviti pembalakan di hutan simpan itu mengikut proses yang betul dan pihak terbabit melaksanakan syarat-syarat yang telah ditetapkan?


Seperti yang saya kata tadi, kayu balak dan hutan tidak boleh ditebang habis tetapi 15 tan sahaja seekar. Apa yang berlaku bukit pun digondolkan. Macamana nak kata mengikut prosedur? Melainkan jika kawasan tersebut dipanggi; ‘hutan simpan miskin’ atau tudak ada kayu. Lepas itu sepatutnya kawasan yang dah ditebang mesti digantikan dengan spesis hutan seperti merantu, chengal dan sebagainya. Berkaitan di Kemasul, pokok durian memang ada termasuk spesis hutan tetapi klon Musang King ini masuk atau tidak saya tidak pasti. Tapi kalau sawit dan getah tak termasuk tanaman spesis hutan.


Adakah berlaku manipulasi undang-undang itu sendiri bagi membolehkan balak diambil dari hutan simpan?

Dari segi isu, sebenarnya ini kes mengambil kesempatan. Kerajaan negeri sebenarnya terdesak untuk mendapatkan hasil atau sumber pendapatan bagi mengurus negeri. Kutipan hasil cukai tanah semua sekali melibatkan industri, tanah, pelombongan, balak, anak-anak syarikat dan lain-lain dicampur geran per kapita berjumlah sekitar RM700 juta sedangkan perbelanjaan menjangkau RM800 juta. Jadi inilah sebabnya hutan simpan menjadi ‘talian hayat’ kepada Kerajaan Negeri Pahang.


Dalam hal ini bagaimana saudara melihat sikap kerajaan Pahang sendiri, adakah mereka serius dalam usaha menjaga hutan khususnya hutan simpan atau hutan dikawasan-kawasan zon penampan seperti di hulu sungai?

Saya lebih melihat kepada kerajaan yang ada hanya mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan melalui kekayaan sumber alam semula jadi yang ada. Kerana bagi saya, sebuah kerajaan yang efisyen dan ‘good governance’ mestilah berdaya saing memanipulasi sumber-sumber yang ada, tapi tak kreatif. Apa yang Pahang tidak ada? Dari puncak gunung, bukit-bukau, sungai hinggalah ke pinggir lautan luas, semua ada. Saya bagi contoh Bentong paling hampir dengan ibu kota. Sepatutnya boleh bersaing dengan kepesatan Kuantan. Macamana usaha kerajaan bagi membolehkan penduduk mendapat peluang pekerjaan dan perniagaan. Tapi kena ada suatu untuk menarik limpahan pembangunan dari ibu kota itu seperti pelancongan, industri, pelaburan pertanian agro ekotourisme. Begitu juga kekurangan usaha mencipta industri hiliran contohnya dari Kuantan hingga Rompin. Sebab itu saya andaikan kerajaan negeri ini umpama bapa anak ramai tapi tak pandai cari pendapatan lebih. Yang dia nampak hanya dua ‘talian hayat’ iaitu barang kemas isteri dan kedua duit tabung anak-anak. Barang kemas ini macamlah pajak tanah kepada tauke-tauke. Kedua buka hutan simpan. Ini seperti keluarkan duit tabung anak. Inilah dua talian hayat,


Sekiranya tidak mendapat kelulusan atau kebenaran daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) adakah aktiviti pembalakan hutan simpan ini masih boleh dilakukan secara sah mengikut undang-undang?

Kita boleh melihat sendiri kepada kesan geografi fizikal seperti hakisan, banjir besar dan bila musim panas sumber air menjadi kontang serta pemanasan global akibat penebangan belantara yang tidak terkawal. Jadi sepatutnya hutan simpan ini tidak payahlah ditebang jika berlaku kemudaratan.


Mengenai pembalakan secara haram pula, bagaimana ia boleh terus berleluasa? Adakah penguatkuasaan sangat lemah?

Bagi kita semua agensi penguatkuasaan kena buat kerjalah. Mesti ada satu mekanisme supaya hutan simpan itu tidak dikeluarkan atau mesti mengikut syarat-syarat ketat. Isunya di sini ialah penguatkuasaan. Sebagai contoh jika berlaku pencemaran, JAS mempunyai kuasa untuk mengarahkan ia dihentikan serta merta sekiranya terbukti memberi kesan kepada alam sekitar.


Dalam hal ini sebenarnya apa yang boleh rakyat lakukan untuk menghalang aktiviti merosakkan hutan ini?

Dapatkan maklumat yang betul, semak di pejabat hutan minta siasat dan seterusnya desak pihak berkuasa negeri ambil tindakan. Laporkan kepada polis, itu boleh rakyat lakukan. Kerana ini soal jenayah.


PAS Pahang sendiri baru-baru ini menjelajah sendiri ke lokasi-lokasi pembalakan hutan simpan membuat pemantauan dan pendedahan kepada media, adakah usaha seperti ini ada kesan?


Memang ada kesan bukan sahaja dari segi isu tapi kerja yang sememangnya wajar diambil inisiatif oleh parti pembangkang yang menjadi mata dan telinga kepada rakyat. Sebagai pembangkang yang baik mesti memantau apa yang kerajaan buat supaya tidak berlaku pembaziran, penyelewengan memantau supaya kerja-kerja agensi penguatkuasaan kerajaan itu berkesan. Kedua, tindakan ini dapat memastikan undang-undang dihormati dan sesuatu projek tidak disalahguna atau diambil kesempatan. Seterusnya kekayaan hasil bumi dapat diagihkan kepada rakyat secara adil.



No comments:

Post a Comment