Tuesday, August 23, 2016

Hutan Rizab Kemasul gondol: Persoalan kepada kerajaan

KERAJAAN MESTI KEMUKAKAN PENJELASAN KENAPA HUTAN RIZAB SELUAS LEBIH 13K EKAR DI KEMASUL DIGONDOLKAN

Jawatankuasa Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Negeri YB Ustaz Rosli Abdul Jabar bersama kepimpinan PAS Kawasan Bentong telah menerjah sebuah kawasan Tanah Rizab Kemasul yang dahulunya adalah hutan rimba menghijau tetapi kini menjadi GONDOL umpama padang jarak padang tekukur.

Kawasan tersebut yang dipercayai seluas lebih daripada 13 ribu ekar didakwa oleh penduduk tempatan telah dikeluarkan hasil balak sejak beberapa tahun dahulu dan kemudiannya digondolkan dipercayai untuk tujuan pertanian skala besar. Penduduk kampung juga mendakwa tanah tersebut kini diberikan hak pembangunan pertanian kepada tiga tauke Cina daripada Pahang dan Johor.

Terjahan semalam mendapati seluar kira-kira 500 ekar telah dibersihkan sepenuhnya dan dibina teres serta ditanam anak durian penanti yang kemudiannya akan dicantumkan dengan benih durian musang king. Terdapat dua bangunan pekerja dan stor telah didirikan di kawasan tersebut yang telah dipugar dengan pagar elektrik.

Sementara baki tanah berkenaan kini tinggal terbiar tanpa produktiviti. Kawasan ini merupakan sebahagian daripada kawasan tadahan untuk lembangan Sungai Pertang dan kini aliran sungai tersebut terjejas teruk dengan kemerosotan kuantiti air dan ditambah buruk dengan mendapan pasir dan tanah susulan hakisan.

Pembukaan hutan ini yang kedudukannya terlindung daripada jalan raya utama FELDA Kemasul - Karak, bukan sahaja menejejaskan sumber air malah merupakan MALAPETAKA dan TRAGEDI kepada sistem ekologi yang memusnahkan sepenuhnya SANTUARI hidupan liar sekali gus ANCAMAN BESAR kepada alam sekitar. Tidak hairanlah sebahagian besar binatang liar kini menerjah kawasan kampung dan penempatan peneroka FELDA untuk survival kehidupan mereka. TERNYATA bahana tragedi ini ditanggung oleh rakyat sementara kapitalis dan pemimpin yang korup bersenang lenang dengan kemewahan yang diperoleh hasil pemerkosaan khazanah hutan negara.

Sangat menghairankan apabila generasi muda kampung dan FELDA membuat permohonan untuk meneroka dan membangunkan tanah maka permohonan mereka ditolak dengan pelbagai alasan. Kawasan bersebelahan hutan tersebut terletaknya FELDA Plantation Mengkarak 1 dan 2 yang ketika awal pembukaannya dahulu telah siap dirancang untuk penempatan peneroka dan sebtang jalan bertar telah siap dibina menghubungkan FELDA Chemomoi ke kawasan ladang Mengkarak yang dimiliki individu dan orang kampung. Dipercayai jika FELDA Mengkarak ditempatkan peneroka maka jalan tersebut akan disiapkan sepenuhnya secara rasmi menghubungkan Chemomoi dengan pekan Mengkarak. Namun FELDA Mengkarak yang sepatutnya ditempatkan dengan peneroka diubah menjadi FELDA Plantation sekali gus menutup peluang rakyat memperoleh pekerjaan dan pemilikan rumah serta ladang.

PAS Pahang menuntut PENJELASAN TUNTAS daripada pihak kerajaan:

1. Bagaimana hutan santuari tersebut boleh dijarah sewenang-wenangnya dan dibiarkan GONDOL umpama dilanda kancah perang.
2. Sejauhmana hasil daripada pembalakan di hutan tersebut memberikan manfaat kepada dana kerajaan negeri dan penduduk setempat.
3. Apakah status pemilikan terkini tanah tersebut dan cadangan pembangunannya untuk jangka pendek dan jangka panjang.
4. Jika ternyata pembukaan hutan tersebut adalah PENCEROBOHAN maka pihak kerajaan perlu serta merta mengambil tindakan tegas memberkas dan menghukum pihak terbabit SEMENTALAHAN KAWASAN HUTAN INI TERLETAK DI DALAM KAWASAN DUN YANG DIWAKILI OLEH MENTERI BESAR PAHANG.

PAS Pahang juga menuntut supaya:

1. Kajian alam sekitar(EIA) dilakukan segera di kawasan berkenaan supaya langkah-langkah pemuliharaan SEGERA ke atas alam sekitar dapat dilakukan.

2. Projek penanaman semula hutan dilakukan secara telus yang bukan sahaja untuk mengembalikan sumber hasil mahsul hutan malah mengembalikan SANTUARI RIMBA untuk hidupan liar supaya hidupan tersebut tidak berkonfrontasi dengan kawasan kediaman manusia.

ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI
Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang

No comments:

Post a Comment