Thursday, August 11, 2016

Darul Fikri perlu RM200 ribu siap bangunan

KUANTAN: Maahad Tahfiz Darul Fikri yang kini dalam proses pembinaan memerlukan sumbangan dana RM200,000 bagi membolehkan sekolah itu siap sepenuhnya.

Pengerusi jamaah tadbirnya, Rosli Abdul Jabbar berkata, pihaknya memerlukan dana itu bagi menyiapkan pembinaan bilik darjah, pejabat, kantin dan dua rumah guru.

Menurutnya, kini pihaknya berusaha mengumpulkan dana supaya pembinaan maahad itu dapat diteruskan.

“Pembinaan maahad ini dimulakan sejak Februari lalu dan kini hampir 70 peratus siap.

“Jadi kami mengharapkan orang ramai menyalurkan dana kepada kami bagi membolehkan satu pusat pengajian agama dapat diwujudkan di daerah ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Maahad Tahfiz itu di Kampung Seri Damai di sini, semalam.

Beliau berkata, selain sumbangan kewangan, pihaknya juga mengalu-alukan bantuan berbentuk peralatan dan bahan binaan bagi menyiapkan bangunan maahad itu.

Rosli berkata, bangunan sekolah yang dibina di atas tanah seluas 0.8 hektar itu dijangka dapat menampung lebih 80 pelajar.

“Jika ada individu atau agensi yang mahu hulurkan bantuan peralatan dan bahan binaan, harapnya mereka menghubungi kita terlebih dulu untuk mengetahui bentuk barangan diperlukan berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Menurutnya, beliau berhasrat melahirkan lebih ramai pelajar berpengetahuan tinggi dalam ilmu agama mendorongnya sedaya upaya membina serta menyiapkan bangunan maahad itu.

Beliau berkata, pembinaan maahad itu perlu bagi menampung jumlah pelajar sekolah agama yang semakin meningkat.

“Setiap tahun, kita menerima pertambahan bilangan pelajar untuk masuk ke aliran agama ini jadi bagi menampung keperluan semasa, maahad ini perlu diperbesarkan,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi nombor akaun Maybank 556226411401 dan Bank Mualamat, 06010034885721 atas nama Maahad Tahfiz Darul Fikri.



]

No comments:

Post a Comment