Wednesday, September 22, 2010

Hudud boleh dilaksanakan di Malaysia – Pakar Perlembagaan

Jenayah ngeri seperti pembunuhan kejam serta gejala sosial dewasa ini makin menggerunkan peningkatannya. Justeru ramai yang menganggap ia terjadi kerana undang-undang dan peraturan ciptaan manusia yang ada tidak lagi menggerunkan manusia.

Lantaran, sudah ramai yang sedar bahawa tidak dapat tidak undang-undang sosial manusia pada hari ini mesti dikembalikan kepada hukum yang diturunkan oleh pencipta manusia itu sendiri, iaitu Allah SWT.

Dengan demikian, bolehkah hukum hudud yang terkandung dalam Al-Qur-an, Hadis dan ijmak ulamak dilaksanakan di negara ini yang sejak lama mengamalkan dan mengguna pakai undang-undnag penjajah Inggeris?

Umno dan konco-konconya berhujah bahawa undang-undang yang telah dimaktubkan dalam perlembagaan peninggalan penjajah itu tidak boleh diubah.

Namun begitu bagi pensyarah undang-undang pakar perlembagaan Prof. Dr Abdul Aziz Bari, hudud boleh dilaksanakan tanpa perlu pinda perlembagaan secara besar-besaran, tetapi memadai dengan menggubal sebuah akta dan enakmen.

Ertinya, pelaksanaan undang-undnag Islam itu tidak sesukar mana jika mahu dilaksanakan seperti kata pepatah: ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.

"Hudud hanya boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan yang memerintah bersetuju untuk membentangkannya dan menyediakan prasarana yang diperlukan," kata Abdul Aziz.
Beliau yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa berkata, "oleh kerana hudud adalah dasar PAS dan bukan keutamaan Pakatan Rakyat maka apa yang perlu dilakukan ialah menyakinkan rakyat.

"Apabila rakyat faham dan mahu hudud dilaksanakan kerajaan tidak ada pilihan. Di sini saya setuju dengan kenyataan yang pernah disuarakan oleh bekas presiden PAS, almarhum Datuk Fadzil Noor dahulu. Umumnya rakyat perlu faham dan sokong," ujar beliau seperti dilapor Harakah.

Beliau juga turut menjelaskan tentang kenyataan yang disalah erti oleh media kononnya hudud tidak boleh dilaksanakan dengan pendekatan yang klasikal.

Katanya, beliau bercakap dengan media yang tidak boleh memahami hudud; sebenarnya beliau mengatakan bahawa pelaksanaan hudud dalam negara moden seperti Malaysia perlu dibuat dalam konteks perlembagaan dan undang-undang.

"Dan ini telah pun diikuti dalam pelaksanaan hukum Islam yang lain seperti perbankan Islam, undang-undang keluarga Islam dan seterusnya.

"Kita boleh belajar dari pengalaman masyarakat Islam silam tetapi akhirnya apa yang perlu ditangani sekarang inilah yang menentukan. Prinsipnya tetap dan sama tetapi pelaksanaan menuntut kebijaksanaan dan pengubahsuaian," tegas Aziz.

No comments:

Post a Comment